Gelapkan Dana RM100 juta, Khairy sahkan pegawai KBS disiasat SPRM
PUTRAJAYA: Pasukan siasatan khas dianggotai pegawai daripada pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) akan mengenal pasti kelompongan dan menambah baik proses serta prosedur kewangan dalaman Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin, berkata beliau sudah mengadakan perbincangan dengan KSN (Tan Sri Dr Ali Hamsa) dan memutuskan siasatan harus dilakukan pihak ketiga bagi memastikan ketelusan.
"Kita akui ia (proses dan prosedur kewangan dalaman KBS) adalah antara kelemahan pihak kementerian dan atas sebab itu, saya mengadakan perbincangan dengan KSN berkenaan penubuhan pasukan siasatan bebas.
"Pasukan ini merangkumi pegawai yang dilantik KSN sendiri untuk memantau dan bukannya daripada kalangan pegawai KBS," katanya pada sidang media khas, di sini sebentar tadi.
Beliau berkata demikian mengulas isu penahanan seorang pegawai KBS yang menimbulkan persoalan mengenai prosedur tata kelola dana jabatan kerajaan diuruskan.
Suspek berusia 56 tahun yang menjadi dalang menggelapkan kira-kira RM100 juta dana kementerian itu sejak enam tahun lalu, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di rumahnya di Kajang pada Jumaat lalu.
Khairy turut mengesahkan penangkapan pegawai kanan kerajaan oleh SPRM adalah daripada kementeriannya sambil menambah pihak SPRM sudah memaklumkan kepadanya beberapa minggu lalu bahawa siasatan yang sedang dijalankan ke atas individu berkenaan.
Beliau juga memberi jaminan akan terus memberi kerjasama penuh dan menyokong usaha SPRM dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
"Selama beberapa tahun, pegawai berkenaan menggunakan prosedur yang tidak memerlukan pengesahan pihak atasan seperti menteri mahupun Ketua Setiausaha kementerian," katanya.
Sumber : Berita Harian Online
0 comments:
Post a Comment