.

Monday, March 21, 2016


SHAH ALAM: Pengacara dan pelawak popular, Jihan Muse, 33, sah bergelar isteri kepada pelakon, Ungku Hariz, 31, dengan sekali lafaz tepat jam 3.20 petang (20 Mac 2016) dalam sebuah majlis pernikahan ringkas di Laman Kayangan, Shah Alam, di sini.

Jihan atau nama sebenarnya Nuur Jihan Musa dan Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Musa Abdul Aziz, dengan disaksikan Pendaftar Kanan Perkahwinan, Cerai dan Rujuk Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, Muhamad Sujak Muhamad Dasuki; bapa pengantin lelaki; adik-beradik dan keluarga terdekat.

Pengantin perempuan menerima RM300 sebagai mas kahwin dan kedua-duanya juga saling berbalas lima dulang hantaran. Bagaimanapun, pasangan pengantin memilih untuk merahsiakan jumlah wang hantaran.

Majlis pernikahan kedua-dua mempelai dihadiri kira-kira 300 jemputan yang terdiri daripada keluarga dan kenalan rapat pengantin.

Pasangan merpati dua sejoli itu kelihatan sama cantik sama padan menggayakan busana rekaan Rizman Ruzaini dan solekan oleh Saidatul Nisa serta Bosco Ryzal.

Sementara itu, pasangan selebriti ini memilih tema tradisional klasik bagi majlis persandingan mereka yang akan diadakan pada 27 Mac ini di Shah Alam. Pada majlis itu, mereka akan menggayakan rekaan Man Kajang.

Terdahulu, majlis berinai bertemakan tradisional kebaya nyonya berlangsung meriah di Laman Qaseh, Gombak, dekat sini pada 18 Mac lalu.




Sumber : Berita Harian Online

0 comments:

Post a Comment