MH370: Malaysia laku segalanya untuk kesan pesawat - DCA
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR), mereka telah melakukan segala-galanya untuk mengesan pesawat MH370 yang hilang.
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman, berkata mereka tidak mengabaikan sebarang usaha dan perbelanjaan dalam mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang pada 8 Mac.
"Kami telah bekerja keras dan bekerjasama dengan semua pihak yang boleh membantu termasuk orang-orang yang berada di sini hari ini.
"Penyiasatan mengenai MH370 tidak pernah dilakukan sebelum ini. Dengan sedikit petunjuk, penyiasat dari seluruh dunia telah dipaksa menggunakan kaedah-kaedah baharu untuk mencuba dan memahami apa yang telah berlaku.
"Maklumat yang sedang kami siasat adalah maklumat terbaik yang kami ada. Kami menyusul semua bukti yang telah membawa kami dari Laut China Selatan hinggalah ke Selat Melaka; dari Laut Andaman hinggalah ke koridor Utara dan koridor Selatan; dan akhirnya ke Lautan Hindi," katanya dalam ucapan perasmian pada taklimat khas kepada anggota keluarga penumpang pesawat warga China di hotel Bangi-Putrajaya, hari ini.
Azharuddin berkata taklimat hari ini bertujuan memberi sebanyak mungkin maklumat bagi membantu anggota keluarga memahami kenapa dan bagaimama pasukan penyiasatan antarabangsa memutuskan mengenai pergerakan MH370.
Apa yang diperkatakan Azharuddin semasa taklimat berkenaan telah dimoderatorkan oleh Wakil Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting yang turut dinyatakan dalam kenyataan terbaharu Kementerian Pengangkutan mengenai tragedi MH370.
Taklimat berkenaan disiarkan secara langsung kepada anggota keluarga penumpang pesawat MH370 yang berada di Beijing.
Turut hadir bagi menjawab soalan daripada anggota keluarga penumpang China ialah Duta Besar China ke Malaysia, Huang Huikang; Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud; Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia, Datuk Huzir Mohamed; Timbalan Ketua Setiausaha III Kementerian Luar Negeri, Datuk Ibrahim Abdullah.
- BERNAMA
Sumber : Berita Harian
0 comments:
Post a Comment