.

Wednesday, April 16, 2014











Kapal Tentera Laut Australia, HMAS Success (kiri) dan HMAS Toowoomba (kanan) melakukan kerja-kerja mengisi minyak ke atas kapal Tentera Laut Amerika Syarikat, Cesar Chavez di selatan Lautan Hindi semasa mereka meneruskan operasi mencari pesawat MH370 semalam. - REUTERS


PUTRAJAYA 15 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyelar kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya mampu menyelesaikan misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dalam satu saat sekiranya diberi kuasa.


Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin pembangkang itu benar-benar tidak masuk akal serta memperbodohkan pertimbangan akal budi rakyat negara ini.

Hakikatnya beliau berkata, usaha pencarian pesawat MH370 tersebut telah memperlihatkan betapa perlunya sokongan daripada negara-negara lain sama ada di dalam atau di luar rantau ini ekoran kerumitan cabarannya yang di luar dugaan atau `unprecedented’.

“Maka jika ada orang yang mendakwa kononnya jika diberi kuasa kepadanya dalam satu saat dia boleh mencari kapal terbang tersebut memanglah tidak masuk akal sama sekali malah boleh dikatakan memperbodohkan pertimbangan akal budi rakyat Malaysia keseluruhannya," katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 5 April lalu menyiarkan artikel mengenai wawancara Anwar dengan majalah Southern Weekly yang dimiliki Southern Media Group China, baru-baru ini.

Artikel bertajuk ‘Satu saat’ yang ditulis oleh Chang Long Yan daripada Institut Kewartawanan Taima disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuan Lun halaman C9.

Ketika wawancara itu, Anwar ditanya jika dirinya seorang Perdana Menteri, bagaimanakah caranya beliau menangani isu insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370?

Menurut Ketua Pembangkang itu, beliau hanya memerlukan waktu satu saat untuk menyelesaikan segala isu yang berbangkit.

Ulasan mengenai artikel tersebut telah disiarkan di dalam ruangan isu-isu akhbar Cina di Utusan Malaysia pada 10 April lalu.

Sumber : Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment