.

Friday, April 11, 2014


PERTH 11 April - Sebanyak 12 pesawat tentera, tiga pesawat awam dan 13 kapal dikerahkan pada Jumaat untuk mencari lokasi sebenar sumber isyarat getaran dikesan yang mungkin berkaitan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang di Lautan Hindi tatkala misi mencari masuk hari ke-35.

Misi mencari pesawat itu yang hilang secara misteri pada 8 Mac lepas, diperhebat susulan semalam pesawat Australia AP-3C Orion, mengesan isyarat getaran semasa melakukan pencarian dari udara di kawasan berdekatan kapal tentera Australia (ADV) Ocean Shield.

Susulan pengesanan isyarat terbaru itu, sebanyak tujuh isyarat telah dikesan perakam data penerbangan daripada kotak hitam pesawat sejak Jumaat lepas.

Kotak hitam itu merakamkan data dalam kokpit dan mungkin dapat memberikan jawapan mengenai apa sebenarnya berlaku kepada pesawat itu.

Pusat Penyelarasan Bersama Agensi (JACC) dalam kenyataan hari ini berkata Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia akan melakukan pencarian di dua kawasan membabitkan kira-kira 46,713 kilometer persegi.

Menurutnya kawasan pencarian bertumpu di kawasan kira-kira 2,312 kilometer barat laut Perth.

``Cuaca hari ini diramalkan dengan tiupan angin dari barat selaju 10-15 knot serta hujan sekali-sekala, ombak setinggi 1 hingga 1.5 meter dan jarak penglihatan dalam keadaan hujan adalah lima kilometer,'' menurut JACC.

Menurutnya semalam tiada sebarang objek dikesan oleh pesawat atau kapal.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam, kira-kira selepas sejam pesawat itu berada di ruang udara Laut China Selatan.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara dilancar di Laut China Selatan selepas ada penemuan menunjukkan MH370 mengubah haluan jauh daripada laluan asal, sepanjang dua koridor iaitu koridor utara meliputi sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Pada 24 Mac, hari ke-17 operasi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 ``berakhir di selatan Lautan Hindi'' berdasarkan analisis data satelit syarikat telekomunikasi United Kingdom, Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom. - BERNAMA

Sumber : Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment