KUBANG PASU 18 Mac - Jentera Barisan Nasional (BN) termasuk parti-parti komponen
dinasihatkan agar terus bekerja keras sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian berlangsung bagi memastikan kerusi itu kekal milik BN.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, BN bukan sahaja perlu mengekalkan kemenangan di kerusi tersebut malah beliau mahu majoriti undi yang diperoleh calon BN meningkat pada PRK kali ini.
"Saya yakin penduduk tempatan di DUN Balingian akan memberi sokongan kepada calon BN berdasarkan jasa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di situ iaitu Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
"Namun, saya ingin mengingatkan jentera parti agar jangan terlampau selesa dan yakin kita akan menang kerana di situ (Balingian) kubu kuat kita, sebaliknya kita perlu terus bekerja keras untuk menang serta tingkatkan majoriti undi yang diperolehi BN," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kedah di Napoh di sini hari ini.
Dalam Pilihan Raya Negeri Ke-10 pada 2011, Abdul Taib memperoleh majoriti 5,154 undi dalam pertandingan tiga penjuru di DUN Balingian melibatkan calon BN, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan calon bebas.
Seramai 13,366 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRK DUN Balingian termasuk 133 pengundi awal.
PRK Balingian menyaksikan pertandingan satu lawan satu membabitkan calon BN yang merupakan bekas pegawai daerah, Yussibnosh Balo dan Setiausaha PKR Cabang Bintulu, Abdul Jalil Bujang.
Sementara itu, mengulas peluang BN untuk memenangi PRK DUN Kajang, Mohd. Shafie berkata, peluang untuk BN merampas semula kerusi itu daripada tangan pembangkang cerah berdasarkan sokongan rakyat kepada parti itu.
"Saya turut membantu kempen PRK DUN Kajang, kita pergi dari rumah ke rumah dan penerimaan masyarakat terhadap BN sangat memberangsangkan.
"Petanda untuk kita menang sudah ada, cuma jentera serta calon BN perlu berjumpa dengan sebanyak mungkin pengundi-pengundi untuk meyakinkan mereka," jelasnya.
PRK berkenaan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Sumber : UTUSAN Online.
0 comments:
Post a Comment