dalam usaha merealisasikan impian ke final sekali lagi.
Ipoh: Jangan sekali-kali pandang mudah kemampuan China. Itu peringatan ketua jurulatih hoki negara, Muhammad Dharmaaraj Abdullah kepada pemain Malaysia apabila turun membuat perhitungan dengan China dalam Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah Edisi ke-23 di Ipoh, malam ini.
Jika sebelum ini kemampuan China dalam kejohanan enam pasukan itu dipandang sepi, tetapi aksi bertenaga ketika menundukkan Afrika Selatan 5-0 dan kemudian menyaingi juara Asia, Korea Selatan sebelum tumpas 2-3 mengubah persepsi Dharmaaraj mengenai skuad bimbingan Cui Yingbiao itu.
“Berdasarkan persembahan mereka ketika menentang Afrika Selatan dan Korea Selatan, pemain negara tidak boleh memandang mudah perlawanan dengan China ini.
Azlan yakin
“Saya yakin perlawanan ini pasti tidak mudah buat Malaysia. Malah kita perlu berada pada tahap terbaik untuk mengekang kepantasan pemain lawan,” kata Dhaarmaraj menyentuh perlawanan keempat anak buahnya itu.
Dharma juga berharap anak buahnya meneruskan keupayaan memanfaatkan pukulan sudut penalti yang tampak semakin baik selepas usaha memperbaikinya dilakukan selepas perlawanan dengan Afrika Selatan.
“Kadar jaringan pukulan sudut penalti nampak semakin bagus sejak perlawanan dengan Korea Selatan. Saya berharap momentum itu mampu dikekalkan terutama ketika menentang China,” katanya.
Sementara itu, kapten pasukan, Azlan Misron yakin rakan sepasukan akan mengusahakan kejayaan ke atas China dalam usaha merealisasikan impian mara ke final sekali lagi seperti tahun lalu.
“Setakat ini pemain berjaya melaksanakan perancangan jurulatih dengan berkesan dalam tiga perlawanan. Saya yakin mereka bersedia untuk mengikut segala perancangan dan percaturan jurulatih pada perlawanan ini,” katanya. - Oleh Azizan Hashim
Jadual hari ini
Kanada mln Afrika S (6.05 ptg)
Malaysia mln China (8.05 mlm)
(Semua perlawanan di Stadium Azlan Shah, Ipoh)
Sumber : Berita Harian
0 comments:
Post a Comment