.

Sunday, March 30, 2014


KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines akan menubuhkan sebuah Pusat Bantuan Keluarga di Perth, Australia, bagi keluarga penumpang pesawat MH370 yang hilang.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya, berkata pusat bantuan itu akan menjadi lokasi semua aktiviti yang dirancang bagi keluarga terbabit termasuk taklimat, sembahyang dan khidmat keagamaan.

"MAS akan mengatur urusan untuk membawa anggota keluarga penumpang pesawat MH370 ke Perth, sebaik sahaja pihak berkuasa mengesahkan bahawa serpihan fizikal yang ditemui itu adalah MH370," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, urusan itu akan dibuat segera apabila agensi kerajaan yang berkaitan memberi kebenaran kepada MAS untuk membawa anggota keluarga ke lokasi serpihan kapal terbang itu akan disimpan.

Beliau mengulangi bahawa syarikat penerbangan berkenaan komited untuk menyokong segala usaha yang dijalankan oleh kerajaan asing berkaitan, yang meneruskan misi mencari dan menemukan semula pesawat itu.

Ahmad Jauhari berkata, mereka akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkuasa yang terlibat dalam penyiasatan dan memberi bantuan serta sokongan kepada keluarga penumpang.

Pesawat Boeing 777-200ER MAS yang membawa 239 penumpang, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Kuala Lumpur menuju Beijing pada 8 Mac.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa penerbangan pesawat itu berakhir di wilayah terpencil di selatan Lautan Hindi.

Sumber : Berita Harian

0 comments:

Post a Comment