JAKARTA - INDONESIA. Menteri Pertahanan Indonesia, Purnomo Yusgiantoro memaklumkan bahawa radar tentera negara itu di Sabang, Aceh tidak mengesan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas, melintas di sekitar wilayah tersebut.
"Saya dapat laporan, sistem radar pertahanan udara di Sabang sangat kuat dan tidak mendeteksi (mengesan) adanya pesawat," kata Purnomo di sini, Rabu, seperti dilapor agensi berita Antara, ketika ditanya tentang kemungkinan pesawat MH370 melintasi wilayah itu.
Beberapa nelayan di Aceh Timur dan Sumatera Utara, mendakwa melihat pesawat jatuh di perairan Aceh Timur pada 8 Mac lepas, hari kehilangan pesawat MAS ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Purnomo berkata, radar tentera lebih sensitif jika dibandingkan dengan radar awam dan ketepatannya mengesan sesuatu objek itu tidak perlu diragukan.
Namun, beliau berkata, pesawat MAS yang terbang ke arah utara Malaysia dan selatan Thailand itu, tidak berada dalam lingkungan radar tentera Indonesia.
Purnomo berkata, Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein telah menghubungi beliau pagi tadi untuk meminta bantuan Indonesia mencari pesawat Malaysia Airlines yang hilang itu.
Purnomo berkata, beliau sudah menyampaikan permintaan bantuan tersebut kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan perkara itu akan dibahas dalam mesyuarat kabinet.
Beliau berkata, Indonesia komited untuk membantu Malaysia dalam usaha mencari pesawat tersebut. - Bernama
Sumber : Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment